Kuala Lumpur, 16 April 2025 — Menurut portal Hackers Malaysia, penipuan siber yang melibatkan individu yang mengaku sebagai hacker semakin berleluasa di media sosial. Pihak berkuasa memberi amaran supaya orang ramai lebih berhati-hati dengan tawaran perkhidmatan “hacking” yang banyak dijumpai di platform seperti Facebook, Instagram, dan Telegram.
Tawaran ini sering kali mengelirukan mangsa yang mencari jalan penyelesaian untuk masalah keselamatan siber mereka, namun hakikatnya ia adalah penipuan yang sengaja dijalankan untuk meraih keuntungan dari mangsa.
Menurut Hackers Malaysia, kebanyakan mangsa yang mencari servis hacking melalui media sosial sering kali terpedaya dengan janji-janji palsu. Individu yang mengaku sebagai hacker akan menawarkan bantuan untuk membaiki akaun yang telah di hack, menghapuskan data peribadi yang terdedah, atau membantu mendapatkan semula akaun media sosial yang hilang. Malangnya, selepas mangsa membuat bayaran atau memberikan maklumat peribadi, mereka akan kehilangan wang, dan akaun mereka semakin terdedah kepada risiko.
“Modus operandi mereka adalah dengan mengaku mempunyai kepakaran dalam dunia siber dan menawarkan servis yang nampak sah, sedangkan mereka sebenarnya adalah penipu. Mereka memanfaatkan keperluan dan kepercayaan mangsa yang terdesak,” jelas portal Hackers Malaysia dalam satu kenyataan.
Pihak Hackers Malaysia menegaskan bahawa hacker sebenar tidak akan menawarkan khidmat melalui media sosial secara terbuka. Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang tidak diminta ini. Mereka juga mengingatkan supaya pengguna sentiasa mengemas kini perisian keselamatan di peranti mereka dan mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA) untuk mengelakkan akaun mereka di hack.
Sekiranya anda merasakan telah menjadi mangsa penipuan siber, pihak berkuasa atau CyberSecurity Malaysia boleh dihubungi untuk tindakan lanjut.